Monday, 6 August 2012

Shopping Raya


Jumaat lepas saya dan isteri pergi ke jalan Tuanku Abul Rahman (TAR) untuk membeli (tanpa belah) baju raya. Tema baju raya tahun ini ialah warna hijau muda. Saya pun tidak pasti kenapa dalam banyak-banyak warna, hijau muda yang saya pilih.  Nasib baik isteri saya tidak membantah malah saya lihat beliau sedikit teruja.
Selepas habis waktu pejabat, saya memandu terus ke jalan TAR. Dalam fikiran sepanjang perjalanan saya hanya fikir pasti jalan amat sesak ketika itu. Ketika tiba di susur masuk jalan Sultan Ismail daripada Jalan Kuching, ternyata telahan saya benar. Agak lama menanti kereta bergerak sebelum dapat menyusup masuk ke dalam barisan kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat jalan TAR.
Memasuki jalan TAR saya tersangkut pula di hadapan Kompleks Pertama. Banyak kereta ketika itu namun saya hadapi dengan sabar dan tenang walaupun sedikit berpura-pura (hehe...). Berjaya mengharungi jalan yang sesak, saya terus parkir kereta di tempat letak kereta SOGO.  Memang saya biasa parkir kereta di situ. Tempat lain saya tidak berani parkir kerana risau cajnya mahal.
Saya dan isteri menjelajah SOGO tanpa berlengah kerana ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 6. Banyak juga diskaun untuk barangan berjenama yang dipamerkan. Saya hanya melihat-lihat sahaja kerana kebanyakan pakaian masih agak mahal bagi saya walaupun setelah ditolak diskaun. Ia tidak bersesuaian dengan keadaan poket saya yang ringan ketika itu dan saya sebenarnya mengamalkan sifat zuhud (alasan menggunakan unsur agama).
Keluar dari SOGO saya hanya menjinjing plastik berisi popia basah yang saya rasa harganya memang mahal dan itupun saya beli atas cadangan isteri. Cuba bayangkan sebiji popia harganya RM 2.70. Boleh dapat 5 biji jika beli di bazar ramadhan. Tapi memandangkan rasanya dikatakan orang agak sedap terus saya beli 2 biji. Jika beli 2 harganya RM 4.90 jadi boleh jimat RM 0.50 (hehe..).
Selepas itu kami ke Medan Mara kerana saya pernah beli baju melayu di situ beberapa tahun lepas. Ketika itu saya amat berpuas hati dengan harga dan kualitinya. Kainnya juga lembut dan jahitannya begitu kemas. Puas meronda di ruangan bawah Medan Mara, saya agak kecewa kerana baju melayu yang di cari tidak jumpa. Tiada satu pun memenuhi kehendak saya malah penjual baju melayu di situ agak terhad dan tidak ramai.
Tanpa berfikir panjang, terus kami ke bazar di jalan TAR. Banyak penjual baju melayu dan baju kurung moden disitu. Pilihan juga agak banyak dan hanya perlu pilih yang mana berkenan dimata. Mujur juga petang itu tidak ramai orang yang berkunjung. Senang kami membuat perbandingan. Mungkin kerana waktu berbuka sudah dekat. Tentang berbuka saya tidak perlu risau kerana ditangan sudah ada popia. Air minuman juga banyak dijual disepanjang bazar.
Akhirnya setelah beberapa gerai kami singgah, dapat juga saya beli baju kurung moden dengan corak terkini untuk isteri saya dan sepasang baju melayu teluk belanga yang saya inginkan. Keduanya warna hijau dan harganya juga sepadan dengan bajet. Selesai mencari baju raya masing-masing, kami bersegera ke SOGO kerana waktu berbuka sangat hampir dan kami mengambil keputusan berbuka di situ.
Tangga SOGO menjadi saksi kami berdua berbuka puasa ditemani dengan pengunjung lain yang juga mengambil kesempatan berbuka di situ. Berbuka dengan popia mahal memang sedap dan cukup mengenyangkan.  Selesai misi kami mencari baju raya tahun ini.

0 comments:

Post a Comment