Tuesday, 31 July 2012

Perlawanan Persahabatan : Harimau Malaya vs Manchester City


Malam tadi sempat juga saya saksikan perlawanan diantara pasukan kebangsaaan kita menentang pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Perlawanan yang julung kali diadakan itu sudah pasti membuka peluang dan ruang kepada skuad Harimau Malaya untuk menimba pengalaman berharga bermain dengan barisan pemain handalan walaupun tewas di laman sendiri.

Skuad kendalian Roberto Mancini turun ke padang tanpa kelibat beberapa pemain bintang antaranya ketua pasukan Kompany, pemain tengah menyerang David Silva, penyerang unik Mario Balloteli, Samir Nasri dan beberapa nama lagi yang tidak dibawa dalam jelajah mereka. Saya sedikit kecewa sebenarnya apabila David Silva tidak menyertai kunjungan kali ini kerana aksinya sentiasa saya nantikan.

Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan skuad Harimau Malaya malam tadi kerana menampilkan aksi melawan yang boleh dibanggakan. Walaupun tidak sebaik sewaktu menentang Arsenal tempoh hari, tenyata perbezaan corak permainan dan pendekatan taktikal  yang dibawa Manchester City  memberi kesan kepada keseluruhan aksi skuad Negara.

Persembahan Farizal Marlias sebagai penjaga gol skuad negara boleh dipuji kerana hanya melepaskan 3 gol selain pemain pertahanan negara yang diketuai Adil dapat mengekang asakan pemain-pemain bertaraf bintang seperti Aguero dan Tevez yang bertubi-tubi melancarkan serangan dengan tidak membiarkan pihak lawan memperolehi gol besar.


Pasukan negara memperolehi peluang berharga pada awal babak pertama apabila dihadiahkan sepakan percuma apabila penjaga gol lawan memegang bola di luar kawasan penalti. Rembatan rendah deras yang dilepaskan oleh Aidil dapat diagak dengan tepat oleh penjaga gol Manchester City untuk menafikan peluang skuad negara mendahului pihak lawan.

Walaupun skuad negara bermain baik kerana dapat menyerap asakan bertali arus serangan pasukan lawan pada awal separuh masa pertama, ternyata ia hanya bertahan buat seketika apabila Aguero menampilkan aksi dan skil individu yang menarik untuk menjaringkan gol sulung buat skuad kendalian Roberto Mancini.

Sebaik bermula separuh masa kedua, Manchester City menggandakan serangan dan hasilnya tidak lama selepas itu lorongan cantik Aguero disempurnakan Tevez untuk gol ke 2. Ternyata permainan kemas yang dipamerkan  skuad The Citizens semakin teserlah dan terus menguasai  permainan. Akibatnya, pasukan Negara terus dihukum lagi apabila Adam Johnson dapat menghidu kelemahan benteng Negara dengan tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol ke 3.

Kemasukan ramai pemain simpanan kedua-dua pasukan sedikit menjejaskan rentak permainan dan tempo perlawanan sedikit perlahan terutama rentak pasukan Manchester City. Pemain simpanan kurang ternama yang dimasukkan dilihat masih belum mampu membentuk persefahaman dan persembahan meyakinkan. Kemasukan Azamuddin Akil ke dalam skuad Negara selepas itu memberi impak yang besar apabila menghadiahkan gol saguhati yang menyaksikan sorakan yang gemuruh penyokong tempatan di dalam stadium.

Kekalahan skuad bimbingan Datuk K Rajagopal memang sudah dijangka tetapi 3 gol yang dilepaskan dan 1 gol yang diperolehi merupakan satu keputusan yang tidaklah terlalu teruk lebih-lebih lagi perlawanan persahabatan diadakan di bulan puasa. Saya pasti pendedahan sebegini memang diperlukan oleh skuad negara kita untuk membina sebuah pasukan yang lebih mantap sebagai persediaan  untuk perlawanan seterusnya.

Keputusan perlawanan pada malam tadi juga usah dijadikan kayu pengukur sebenar kerana kelas pasukan negara kita memang jauh ketinggalan di belakang mereka tetapi sekurang-kurangnya pemain skuad Harimau Malaya mampu memberi saingan sihat kepada mereka. Saya menaruh harapan yang tinggi kepada skuad Negara ketika ini dan saya optimis ia mampu mengembalikan zaman kegemilangan sukan bola sepak Negara.

0 comments:

Post a Comment