Pagi ini saya terlewat ke pejabat. Kelewatan saya bukan disengajakan atau dibuat-buat. Saya sedar dari tidur pada pukul 7.15 pagi sedangkan saya perlu berada dipejabat pada pukul 7.30 pagi. Saya juga berasa agak pelik dan janggal, biasanya jika seseorang yang terlewat bangun keadaan menjadi huru hara dan penuh elemen gelabah. Cuba lihat drama tempatan yang memapaparkan adegan begitu. Pasti keadaannya sama. Tetapi saya kelihatan tenang dan bersahaja menghadapi situasi berkenaan cuma terbit perasaan sesal dalam hati. Banyak perkara saya tinggalkan.
Sambil bersiap saya sedikit hairan dengan tingkah laku saya yang agak sopan dan penuh tatatertib semulajadi ini. Bukan saya ingin memuji diri sendiri tetapi kelewatan pagi ini menjadikan saya lebih tenang tanpa mengeruhkan keadaan kerana adakalanya kelewatan yang dialami bukan salah sendiri. Tetapi idak adil pula menyalahkan orang lain atas kelewatan tersebut kerana pokok pangkalnya adalah kesilapan diri. Anggap sahaja ia ketentuan yang ada hikmahnya.
Siap sahaja menguruskan diri dan memastikan diri ini kacak seperti selalu, terus saya capai kunci motorsikal dan panaskan enjinnya. Sambil memulas minyak, baru saya teringat minyak ditangki sudah banyak susut dibawa rempit sebelum ini. Saya tidak percaya pada paras minyak di meter kerana saya pernah menolak motorsikal sejauh 5 kilometer gara-gara mempercayainya. Lebih-lebih lagi meter minyak digital motorsikal milik abah saya (ampunkan saya abah). Saya lebih suka membuka penutup tangki dan melihat paras minyak didalamnya. Kedudukan paras minyak yang lebih pasti dan terjamin. Pengalaman mengajar saya.
Saya risau kerana paras minyak agak rendah. Takut juga tidak sampai ke stesen minyak yang terdekat kerana jaraknya hampir 8 kilometer. Saya singgah di kedai runcit berhampiran tetapi malangnya habis pula. Biasa sahaja saya beli di kedai itu tetapi ketika memerlukan ada sahaja halangannya. Saya tawakkal dan nekad ke stesen minyak. Hampir sepanjang perjalanan saya tidak berhenti berdoa.
Saya tiba dengan selamat di stesen minyak dengan penuh perasaan syukur dan tiada lagi aksi menolak motorsikal. Sampai di kaunter sistem offline pula. Banyak juga dugaannya pagi ini. Terpaksalah saya menunggu dengan penuh sabar sempena mengambil berkat ramadhan. Mujur juga juruwang di kaunter berkali-kali menyuruh saya menunggu seketika. Maka saya mampu menangani penantian itu dengan bersahaja bukan kerana wajah comel juruwang itu.
Selesai mengisi minyak, saya teruskan perjalanan ke pejabat yang hampir 30 km jaraknya. Saya bawak motorsikal perlahan dan penuh cermat sambil fikiran saya melayang memikirkan setiap kejadian yang menimpa saya pagi ini. Seolah telah diatur dengan rapi setiap babaknya dan terus saya berfikiran positif sambil menganggap ini takdir yang telah ditentukan.
Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi sewaktu saya tiba dipejabat. Terus saya ketip kad perakam waktu dengan perasaan sedikit kesal. Hari pertama bulan 8 sudah terlewat. Permulaan bulan yang agak mengecewakan kerana saya seorang yang sangat berdisplin dan jarang datang lewat (saya tidak tipu..hehehe).
Saya lihat bos saya sudah berada dibiliknya dan saya terus masuk berjumpanya kerana sebelum itu saya nampak panggilan tidak berjawab daripadanya pada skrin telefon baru saya (dengan niat sedikit menunjuk..hehe). Terus saya memberitahunya dengan jujur kelewatan saya tanpa sebarang aksi lakonan yang melebih-lebih. Bos saya memberi respons tenang dengan menerima alasan saya. Lega saya dibuatnya kerana tiada riak marah pada wajahnya. Cuma saya sedikit terkejut apabila diberitahu rupanya ada kejadian yang berlaku pada awal pagi ini dan ia melibatkan kakitangan dibawah seliaan saya. Nasib baik saya terlewat dan ada hikmah rupanya disebalik kelewatan ini.
0 comments:
Post a Comment