Tuesday, 31 July 2012

Motorsikal


Saya sudah lama tidak menunggang motorsikal. Zaman rempit yang saya tinggalkan telah lama berlalu. Pada zaman itu amat susah mengkategorikan mat rempit kerana antara penunggang motorsikal dengan yang lain tiada perbezaan. Hampir semua ciri-ciri penunggang motorsikal adalah sama kecuali yang menunggang laju di jalanraya tanpa memakai topi keledar.
Motorsikal saya juga sudah lama tidak bergerak dan tersadai di depan rumah entah berapa lama. Akibatnya motorsikal saya penuh dengan habuk dan debu-debu yang melekat dek cuaca panas berpanjangan. Tiada masa untuk menguruskannya kerana saya sudah beristeri dan mempunyai seorang anak perempuan (alasan ini boleh diterima ke?).
Untuk menguruskan sebuah motorsikal bukannya senang, penyelenggaraannya pula perlu berkala supaya hayatnya lebih tahan lama. Dahulu sewaktu aktif merempit, perkara utama yang saya utamakan adalah menukar minyak hitam (warna sebenar adalah kuning) setiap 2 bulan sekali. Itu adalah amalan yang selalu saya buat.
Caranya juga mudah, sediakan wang mencukupi dan pergi ke bengkel motorsikal berhampiran. Jumpa mekanik yang sedang tekun membaiki motorsikal dan beritahunya hajat sebenar. Tips penting! Kenal pasti antara mekanik dan pelanggan kerana tersilap beritahu buruk padahnya. Urusannya juga tidak mengambil masa yang lama. Mekanik yang pakar hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit.
Usia motorsikal saya sudah mencecah 6 tahun. Saya sangat sayang padanya sehingga hasrat untuk menjualnya berkali-kali tidak menjadi. Seperti ada sesuatu perkara yang menghalang hasrat saya. Jasanya pada saya tidak terhingga dan saya akan jaganya sebaik mungkin bagi memastikan ia masih boleh digunakan beberapa tahun lagi.

Pagi yang terlewat


Pagi ini saya terlewat ke pejabat. Kelewatan saya bukan disengajakan atau dibuat-buat. Saya sedar dari tidur pada pukul 7.15 pagi sedangkan saya perlu berada dipejabat pada pukul 7.30 pagi. Saya juga berasa agak pelik dan janggal, biasanya jika seseorang yang terlewat bangun keadaan menjadi huru hara dan penuh elemen gelabah. Cuba lihat drama tempatan yang memapaparkan adegan begitu. Pasti keadaannya sama. Tetapi saya kelihatan tenang dan bersahaja menghadapi situasi berkenaan cuma terbit perasaan sesal  dalam hati. Banyak perkara saya tinggalkan.
Sambil bersiap saya sedikit hairan dengan tingkah laku saya yang agak sopan dan penuh tatatertib semulajadi ini. Bukan saya ingin memuji diri sendiri tetapi kelewatan pagi ini menjadikan saya lebih tenang tanpa mengeruhkan keadaan kerana adakalanya kelewatan yang dialami bukan salah sendiri. Tetapi idak adil pula menyalahkan orang lain atas kelewatan tersebut kerana pokok pangkalnya adalah kesilapan diri. Anggap sahaja ia ketentuan yang ada hikmahnya.

Perlawanan Persahabatan : Harimau Malaya vs Manchester City


Malam tadi sempat juga saya saksikan perlawanan diantara pasukan kebangsaaan kita menentang pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Perlawanan yang julung kali diadakan itu sudah pasti membuka peluang dan ruang kepada skuad Harimau Malaya untuk menimba pengalaman berharga bermain dengan barisan pemain handalan walaupun tewas di laman sendiri.

Skuad kendalian Roberto Mancini turun ke padang tanpa kelibat beberapa pemain bintang antaranya ketua pasukan Kompany, pemain tengah menyerang David Silva, penyerang unik Mario Balloteli, Samir Nasri dan beberapa nama lagi yang tidak dibawa dalam jelajah mereka. Saya sedikit kecewa sebenarnya apabila David Silva tidak menyertai kunjungan kali ini kerana aksinya sentiasa saya nantikan.

Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan skuad Harimau Malaya malam tadi kerana menampilkan aksi melawan yang boleh dibanggakan. Walaupun tidak sebaik sewaktu menentang Arsenal tempoh hari, tenyata perbezaan corak permainan dan pendekatan taktikal  yang dibawa Manchester City  memberi kesan kepada keseluruhan aksi skuad Negara.

Persembahan Farizal Marlias sebagai penjaga gol skuad negara boleh dipuji kerana hanya melepaskan 3 gol selain pemain pertahanan negara yang diketuai Adil dapat mengekang asakan pemain-pemain bertaraf bintang seperti Aguero dan Tevez yang bertubi-tubi melancarkan serangan dengan tidak membiarkan pihak lawan memperolehi gol besar.

Kuih Karipap


Entah mengapa Ramadhan tahun ini saya kerap membeli karipap sebagai juadah berbuka hampir setiap hari. Berbuka saya tidak lengkap tanpa karipap macam ada sesuatu kurang yang membuatkan saya rasa tidak selesa. Itulah penangan kuih karipap yang begitu magis seolah terpukau dek rasanya yang lazat. Boleh terliur dibuatnya apabila terbayang kelibatnya diingatan (Amboi..teruk betul saya).
Dipejabat saya ada seorang rakan yang menjual karipap sejuk beku inti sardin dan kentang. Saya selalu juga membeli daripadanya kerana harganya murah walaupun perlu digoreng terlebih dahulu. Sepeket mengandungi 6 biji dijual pada harga RM2.00. Rasanya juga enak ketika dimakan panas atau sejuk. Saya lihat karipap yang dijual juga begitu laku. Ramai yang membelinya. Maklum sahaja berniaga dipejabat, pasti saja laris. Tambahan pula kaedah promosi tradisional dari mulut ke mulut agak praktikal untuk melariskan jualan. Rezeki Allah nak bagi kepada beliau.

Sunday, 29 July 2012

Audit Solat

Salam Ramadhan,
Sabtu lepas, saya rasakan siaran pagi di televisyen amat membosankan kerana tiada rancangan yang menarik. Puas saya menelek senarai rancangan pagi tersebut beberapa kali sebelum saya mengambil keputusan mengalih siaran tv ke TV9 untuk menonton program Nasi Lemak Kopi O. Mungkin secara kebetulan pilihan terakhir yang saya buat amat tepat kerana topik pagi itu amat menarik minat saya.
Topik Audit Solat yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim, pakar penyelidik daripada Universiti Malaya amat bermakna dan penuh informasi. Kupasan solat dari sudut sains menerusi kajian yang dijalankan ke atas tubuh manusia serta kelebihannya kepada jasmani kita. Antara yang kupasan yang menarik ialah  mengenai pergerakan solat dengan posisi tubuh yang betul dapat mengurangkan tahap lemak dalam badan.
Selain itu, postur tubuh yang betul ketika rukuk juga dapat menghindarkan diri daripada sakit pinggang. Kelebihan melakukan solat berjemaah juga dikupas daripada sudut sains dimana solat secara berjemaah yang dilakukan dapat menstabilkan cas-cas elektrik yang terdapat di dalam badan di antara jemaah menerusi sentuhan bahu.
Sedikit ilmu yang saya perolehi daripada topik yang disampaikan dan saya kongsikan di sini untuk manfaat bersama. Secara jujurnya saya sendiri teruja dengan kelebihan dan keputusan yang diperolehi menerusi kajian sains mengenai solat yang wajib dilaksanakan oleh umat islam. Memang benar setiap umat islam wajib menyakini solat kerana disebalik ketetapan yang telah difardukan, pastinya kelebihan sebenar hanya Allah yang lebih mengetahui.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari http://cmimems.wordpress.com/.
p/s : Lucu juga lihat gelagat pengacara wanitanya ketika progam berlangsung.