Pejam celik dah 6 bulan saya dan keluarga tinggal di rumah sendiri. Sebenarnya kunci dah diserahkan awal lebih kurang bulan 3 tahun lepas tetapi kami mula mendiami rumah tersebut secara rasmi bulan 10. Kebetulan sewaktu kunci diserah, isteri saya sedang sarat mengandung dan selepas beliau habis pantang barulah kami berpindah.
Alhamdulillah, niat untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai dan mungkin juga rezeki puteri kesayangan kami Nur Amna Qistina. Segala urusan juga dipermudahkan-Nya dari urusan ‘booking’ rumah sehinggalah kunci diserah. Saya hanya mampu bersyukur di atas rezeki yang dikurniakan.
Saat menerima panggilan untuk urusan serahan kunci merupakan saat yang paling gembira buat saya. Setelah hampir 10 bulan menunggu dengan penuh sabar, saat dinanti akhirnya tiba. Sewaktu urusan mengambil kunci dan buat pertama kali melangkah ke dalam rumah sendiri, perasaan yang dirasa memang tak dapat digambarkan walaupun rumah agak kotor ketika itu.
Kini, tiada masalah besar yang kami hadapi sepanjang mendiami rumah ini. Jika ada pun hanya masalah kecil yang boleh diatasi. Saya cuma berharap agar dijauhkan segala perkara yang mampu memudaratkan kami sekeluarga lebih-lebih lagi ketika membesarkan puteri kami. Suasana persekitaran yang masih hijau dan keadaan yang tenang membuatkan saya rasa pilihan saya dan isteri adalah tepat.
0 comments:
Post a Comment