Monday, 13 August 2012

Baharui Lesen Memandu

Salam Ramadhan..

Saya sertakan maklumat yang saya perolehi daripada laman web Myeg mengenai memperhararui lesen memandu.

1. Apakah yang di maksudkan dengan penyelarasan tarikh tamat Lesen Memandu Kompeten (CDL) mengikut tarikh lahir?
Ianya bermaksud apabila lesen memandu pemegang lesen tamat tempoh, tarikh tamat kuat kuasa pembaharuan lesen memandu tersebut akan diselaraskan dari tarikh tamat semasa kepada tarikh tamat mengikut tarikh lahir pemegang lesen CDL pada tahun berikutnya.

2. Apakah rasional pelaksanaan inisiatif tarikh tamat lessen CDL mengikut tarikh lahir pemegang lesen?
Rasionalnya inisiatif ini ialah :
i. Untuk memberi kemudahan kepada pemegang lesen untuk mengingati tarikh membaharui lesen memandu mereka;
ii. Untuk mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif dan rayuan untuk membaharui Lesen Memandu tamat tempoh melebihi 3 tahun; dan
iii. Sebagai alternatif kepada sistem penyampaian notis peringatan yang telah dilaksanakan JPJ.

3. Apakah jenis Lesen Memandu yang terlibat dalam inisiatif ini?
Pelaksanaan inisiatif ini hanya melibatkan lesen memandu CDL sahaja.

4. Bilakah inisiatif ini mula berkuatkuasa?
Inisiatif ini berkuatkuasa pada 20 November 2011.

5. Di manakah perkhidmatan bagi transaksi pembaharuan lesen CDL mengikut tarikh boleh di buat?
Perkhidmatan bagi urusniaga ini disediakan di kaunter pejabat JPJ negeri / cawangan yang boleh diperolehi melalui:
i. Permbaharuan lesen CDL
ii. Penukaran PDL ke CDL
iii. Menambah kelas Lesen CDL dengan kombinasi pembaharuan CDL
iv. Mendapatkan salinan lesen dengan kombinasi pembaharuan CDL.
Selain itu, perkhidmatan pembaharuan lesen CDL ini juga boleh dilakukan di pejabat Pos, Syarikat penyelia perkhidmatan Ekerajaan (eKhidmat – MyEG, KOMMS, mySPEED), melalui kiosk dan internet serta kaunter perkhidmatan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Nota: Pelaksanaan dikaunter JPN bermula pada Disember 2011

6. Siapakah pemegang lesen yang terlibat?
i. Pelaksanaan inisiatif ini akan melibatkan semua pemegang lesen CDL (warga Negara dan bukan warga Negara ) termasuklah mereka yang akan menukar lesen PDL ke lesen CDL.
ii. Bagi lesen CDL yang masih mempunyai baki tempoh kuatkuasa melebihi 4 tahun, penyelarasan tempoh tamat lesen CDL mengikut tarikh lahir hanya boleh dibuat apabila baki tempoh tamat lesen adalah kurang daripada 4 tahun memandangkan lanjutan tidak boleh melebihi 5 tahun.

7. Apakah terdapat perubahan struktur atau kadar baru yang dikenakan bagi pelaksanaan inisiatif ini kepada pemegang lesen?
Pelaksanaan inisiatif ini tidak melibatkan perubahan kepada struktur bayaran Lesen Memandu CDL sedia ada dan di kekalkan seperti berikut :-
(a) RM20 setahun bagi lesen kelas A, B, dan C
(b) RM30 setahun bagi lesen selain kelas A, B, dan C

8. Adakah pihak kerajaan memberikan apa-apa insentif bagi pelaksanaan sistem pembaharuan lesen CDL mengikut tarikh lahir?
a) Kerajaan bersetuju untuk:
i. Memberikan insentif kepada setiap pemegang lesen CDL warga Negara sahaja.
ii. Pelarasan dengan amaun percuma atau rebet 50% kepada pemegang CDL warga Negara Malaysia.
iii. Pelarasan dengan amaun percuma, rebet atau berdasarkan tempoh (bulan) hanya di beri sekali sahaja.
b) Bagi pemegang lesen CDL bukan warga Negara Malaysia, bayaran yang di kenakan adalah berdasarkan kadar purata mengikut tempoh lesen CDL yang dipohon digenapkan mengikut bulan kelahiran.

9. Bagaimanakah cara pengiraan kadar lesen CDL mengikut tarikh lahir berdasarkan insentif diberikan kerajaan?
Bagi pemegang lesen CDL warga Negara yang tempoh pembaharuannya di antara tamat kuatkuasa lesen hingga tarikh lahir adalah di antara tarikh tamat kuatkuasa lesen hingga tarikh lahir adalah antara 12 hingga 18 bulan, kerajaan akan menanggung bayaran lesen bagi tempoh lanjutan tersebut sekiranya tempoh tersebut kurang daripada 6 bulan di mana tarikh tempoh kuatkuasa lesen CDL mereka akan diselaraskan secara automatik mengikut tarikh lahir.

Bagi penyelarasan tarikh tamat lesen CDL dengan tarikh lahir yang mana tempohnya melebihi 18 bulan tetapi kurang daripada 24 bulan, bayaran yang akan dikenakan adalah seperti berikut:

(a) RM30 bagi lesen kelas A, B dan C; dan Dimana RM20 adalah kadar sedia ada bagi tempoh 1 tahun dan RM10 adalah bayaran bagi baki tempoh seterusnya yang melebihi 6 bulan tetapi kurang daripada 12 bulan.
(b) RM45 bagi lesen selain kelas A, B dan C Dimana RM30 adalah kadar sedia ada bagi tempoh 1 tahun dan RM15 adalah bayaran bagi baki tempoh seterusnya yang melebihi 6 bulan tetapi kurang daripada 12 bulan.

Ilustrasi kiraan tarikh lahir dan amaun adalah seperti berikut:

Dengan andaian tempoh sah lesen sedia ada ialah 20/02/2011 ~ 19/02/2012. Jenis lesen/ kelas ialah CDL kelas D. Tempoh pembaharuan yang di mohon ialah 1 tahun dan tarikh lahir pemegang lesen ialah 10/10/1980. Berdasarkan sistem sedia ada, tempoh sah lesen baru yang sepatutnya pada 20/02/2012 ~ 19/02/2013. Jadi perbezaan tempoh diantara tarikh tamat tempoh lesen baru dengan tarikh lahir seterusnya ialah pada 20/02/2013 ~ 10/10/2013 atau 7 bulan 20 hari. Dengan pelaksanaan inisiatif ini, fi yang dikenakan ialah RM30 bagi 1 tahun mulai 20/02/12 sehingga 19/02/13 dan fi RM15 bagi baki tempoh antara 20/02/13 hingga 10/10/13. Oleh yang demikian, tarikh tamat tempoh baru mengikut tarikh lahir pemegang lesen ialah pada 10/10/2013.

10. Adakah tempoh tertentu ditetapkan kerajaan kepada pemegang lesen CDL untuk mendapatkan insentif yang diberikan?
Kerajaan tidak menetapkan tempoh tertentu untuk mendapatkan insentif ini. setiap kali pemegang lesen CDL sedia ada dan pemegang lesen CDL baru layak menerima sekali (1) sahaja insentif tersebut.

11. Jika sekiranya tarikh tamat lesen CDL saya adalah sebulan sebelum tarikh lahir saya, adakah perlu saya menunggu sehingga tiba tarikh lahir saya untuk mohon pembaharuan lesen memandu?
Seseorang pemegang lesen tidak perlu menunggu sehingga tarikh lahir. Pembaharuan lesen CDL boleh dibuat sebelum atau pada tarikh tamat lesen memandu dan sistem dengan secara automatic akan memberikan tempoh kuatkuasa lesen memandu mengikut tarikh lahir tahun berikutnya.

12. Apakah implikasi bagi pemegang lesen CDL yang lewat membaharui lesen mereka selepas pelarasan kali pertama tarikh lahir dibuat?
i. Di bawah sistem baru ini, tarikh tamat tempoh lesen memandu akan sentiasa diselaraskan secara automatik dengan tarikh lahir.
ii. Sekiranya pemegang Lesen CDL masih lagi terlupa atau terlewat memperbaharui lesen memandu mereka selepas penyelarasan kali pertama dibuat, syarat bayaran pembaharuan dikenakan akan berdasarkan kadar biasa mengikut jadual pembaharuan (2, 3, 4 dan 5 tahun)
iii. Kadar ini dikenakan bagi menyelaraskan semula tempoh pembaharuan tersebut mengikut tarikh lahir dan memastikan tempoh kuatkuasa lesen CDL yang diperbaharui tidak kurang setahun sebagaimana yang ditetapkan dibawah subSeksyen 27 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

13. Adakah pemegang lesen CDL yang lahir pada 29 februari atau pada tahun lompat juga di selaraskan?
i. Bagi pemegang lesen CDL yang tarikh lahirnya ialah pada 29 Februari, tarikh tamat kuatkuasa Lesen CDL mereka ialah pada 28 Februari dan tarikh kuatkuasa baru bagi pembaharuan adalah pada 1 Mac.
ii. Sekiranya mereka memilih tidak menggunakan tarikh ini, maka mereka hendaklah memperbaharui Lesen CDL bagi tempoh 4 tahun iaitu berdasarkan tahun lompat yang berikutnya.

Tuesday, 7 August 2012

Ceramah hari ini

Ceramah hari ini sungguh seronok rasanya walaupun saya terlelap beberapa kali (hehe..). Program bertajuk “Semarakkan Ramadhan” yang diadakan setiap hari rabu sempena ramadhan tahun ini mengundang beberapa orang penceramah yang hebat belaka. Untuk hari ini, ceramah disampaikan oleh Ustaz Haji Aidil Fadli bin Misran Al-Hafiz.
Beliau merupakan penceramah hebat daripada IKIM. Orangnya muda lagi dan gaya penyampaiannya juga menarik. Banyak ilmu yang disampaikan berkenaan ramadhan. Isu bersahur dan berbuka mengikut sunnah nabi dijelaskan dengan lebih terperinci. Kelebihan Qailulah dikupas menarik sebagai cara untuk meningkatkan kekuatan diri bagi mengerjakan ibadah pada malam hari.
Saya tertarik dan saya amat bersetuju dengan kenyataan beliau yang mengatakan bahawa pada hari ini umat islam lebih sensitif dengan isu Al-Quran dipijak dan dibakar berbanding dengan memartabatkan isi Al-Quran itu sendiri. Ramai umat islam yang tidak mengambil berat mengenai apa yang terkandung di dalam Al-Quran meliputi suruhan dan larangan Allah malah ada yang dengan jelas mengabaikannya.
Banyak lagi yang disampaikan oleh ustaz muda dalam ceramahnya hari ini. Pastinya yang baik itu saya akan ambil sebagai sesuatu yang saya akan amalkan dalam menjalani baki ibadah puasa pada tahun ini dan sebagai persiapan ramadhan tahun hadapan. InsyaAllah!

Terima Buku


Semalam petang saya menerima sebuah bungkusan. Saya berpura-pura terkejut apabila seorang rakan memberinya kepada saya tatkala ketika itu saya berada di dalam bilik bos. Melihat kepada bungkusan itu saya telah mengagak apa isinya cuma saya pendamkan niat membukanya.
Tiba dimeja, saya terus membuka bungkusan tersebut. Buku “Solat : Kebaikan Dari Perspektif Sains” yang saya pesan daripada sebuah laman blog http://bookkeeper-uwise.blogspot.com/ telah selamat diterima. Saya sangat teruja apabila menerimanya. Ini merupakan pertama kali saya membeli buku secara online dan yang paling penting kaedah membelinya sangat mudah.
Biasanya jika pengguna ingin membeli sesuatu barang secara online, dia mesti membuat bayaran terlebih dahulu sebelum barang yang dipesan tiba. Tetapi di laman blog tersebut, cara belinya agak berbeza.  Bagi pembelian di bawah RM300.00 pembayaran dibuat hanya setelah pembeli menerima barang pesanan dan perlu memasukkan amaun yang tercatat pada inbois ke dalam akaun bank syarikat yang mengendalikan laman blog tersebut. Unik bukan!
Secara peribadi pengalaman pertama saya membeli buku secara online ini sangat menarik walaupun bagi sesetengah orang yang telah berkali-kali melakukannya mungkin menganggap biasa. Tetapi saya pasti mungkin pengalaman ini menjadi sesuatu yang sangat berharga untuk masa depan saya dan keluarga. InsyaAllah.

Monday, 6 August 2012

Shopping Raya


Jumaat lepas saya dan isteri pergi ke jalan Tuanku Abul Rahman (TAR) untuk membeli (tanpa belah) baju raya. Tema baju raya tahun ini ialah warna hijau muda. Saya pun tidak pasti kenapa dalam banyak-banyak warna, hijau muda yang saya pilih.  Nasib baik isteri saya tidak membantah malah saya lihat beliau sedikit teruja.
Selepas habis waktu pejabat, saya memandu terus ke jalan TAR. Dalam fikiran sepanjang perjalanan saya hanya fikir pasti jalan amat sesak ketika itu. Ketika tiba di susur masuk jalan Sultan Ismail daripada Jalan Kuching, ternyata telahan saya benar. Agak lama menanti kereta bergerak sebelum dapat menyusup masuk ke dalam barisan kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat jalan TAR.
Memasuki jalan TAR saya tersangkut pula di hadapan Kompleks Pertama. Banyak kereta ketika itu namun saya hadapi dengan sabar dan tenang walaupun sedikit berpura-pura (hehe...). Berjaya mengharungi jalan yang sesak, saya terus parkir kereta di tempat letak kereta SOGO.  Memang saya biasa parkir kereta di situ. Tempat lain saya tidak berani parkir kerana risau cajnya mahal.
Saya dan isteri menjelajah SOGO tanpa berlengah kerana ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 6. Banyak juga diskaun untuk barangan berjenama yang dipamerkan. Saya hanya melihat-lihat sahaja kerana kebanyakan pakaian masih agak mahal bagi saya walaupun setelah ditolak diskaun. Ia tidak bersesuaian dengan keadaan poket saya yang ringan ketika itu dan saya sebenarnya mengamalkan sifat zuhud (alasan menggunakan unsur agama).
Keluar dari SOGO saya hanya menjinjing plastik berisi popia basah yang saya rasa harganya memang mahal dan itupun saya beli atas cadangan isteri. Cuba bayangkan sebiji popia harganya RM 2.70. Boleh dapat 5 biji jika beli di bazar ramadhan. Tapi memandangkan rasanya dikatakan orang agak sedap terus saya beli 2 biji. Jika beli 2 harganya RM 4.90 jadi boleh jimat RM 0.50 (hehe..).
Selepas itu kami ke Medan Mara kerana saya pernah beli baju melayu di situ beberapa tahun lepas. Ketika itu saya amat berpuas hati dengan harga dan kualitinya. Kainnya juga lembut dan jahitannya begitu kemas. Puas meronda di ruangan bawah Medan Mara, saya agak kecewa kerana baju melayu yang di cari tidak jumpa. Tiada satu pun memenuhi kehendak saya malah penjual baju melayu di situ agak terhad dan tidak ramai.
Tanpa berfikir panjang, terus kami ke bazar di jalan TAR. Banyak penjual baju melayu dan baju kurung moden disitu. Pilihan juga agak banyak dan hanya perlu pilih yang mana berkenan dimata. Mujur juga petang itu tidak ramai orang yang berkunjung. Senang kami membuat perbandingan. Mungkin kerana waktu berbuka sudah dekat. Tentang berbuka saya tidak perlu risau kerana ditangan sudah ada popia. Air minuman juga banyak dijual disepanjang bazar.
Akhirnya setelah beberapa gerai kami singgah, dapat juga saya beli baju kurung moden dengan corak terkini untuk isteri saya dan sepasang baju melayu teluk belanga yang saya inginkan. Keduanya warna hijau dan harganya juga sepadan dengan bajet. Selesai mencari baju raya masing-masing, kami bersegera ke SOGO kerana waktu berbuka sangat hampir dan kami mengambil keputusan berbuka di situ.
Tangga SOGO menjadi saksi kami berdua berbuka puasa ditemani dengan pengunjung lain yang juga mengambil kesempatan berbuka di situ. Berbuka dengan popia mahal memang sedap dan cukup mengenyangkan.  Selesai misi kami mencari baju raya tahun ini.

Friday, 3 August 2012

Khutbah Jumaat : MARI FAHAMI ZAKAT FITRAH

Khutbah Jumaat hari ini membawa tajuk “MARI FAHAMI ZAKAT FITRAH”. Pemilihan tajuk yang sesuai bersempena bulan ramadhan yang masuk hari ke 14 pada hari ini. Sebagai umat islam, kita wajib menunaikan rukun islam yang ke 4 iaitu membayar zakat fitrah seperti firman Allah SWT :
" Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah Al-Baiyinah : 5)
Teks Khutbah Jumaat 3/8/2012 :

Tuesday, 31 July 2012

Motorsikal


Saya sudah lama tidak menunggang motorsikal. Zaman rempit yang saya tinggalkan telah lama berlalu. Pada zaman itu amat susah mengkategorikan mat rempit kerana antara penunggang motorsikal dengan yang lain tiada perbezaan. Hampir semua ciri-ciri penunggang motorsikal adalah sama kecuali yang menunggang laju di jalanraya tanpa memakai topi keledar.
Motorsikal saya juga sudah lama tidak bergerak dan tersadai di depan rumah entah berapa lama. Akibatnya motorsikal saya penuh dengan habuk dan debu-debu yang melekat dek cuaca panas berpanjangan. Tiada masa untuk menguruskannya kerana saya sudah beristeri dan mempunyai seorang anak perempuan (alasan ini boleh diterima ke?).
Untuk menguruskan sebuah motorsikal bukannya senang, penyelenggaraannya pula perlu berkala supaya hayatnya lebih tahan lama. Dahulu sewaktu aktif merempit, perkara utama yang saya utamakan adalah menukar minyak hitam (warna sebenar adalah kuning) setiap 2 bulan sekali. Itu adalah amalan yang selalu saya buat.
Caranya juga mudah, sediakan wang mencukupi dan pergi ke bengkel motorsikal berhampiran. Jumpa mekanik yang sedang tekun membaiki motorsikal dan beritahunya hajat sebenar. Tips penting! Kenal pasti antara mekanik dan pelanggan kerana tersilap beritahu buruk padahnya. Urusannya juga tidak mengambil masa yang lama. Mekanik yang pakar hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit.
Usia motorsikal saya sudah mencecah 6 tahun. Saya sangat sayang padanya sehingga hasrat untuk menjualnya berkali-kali tidak menjadi. Seperti ada sesuatu perkara yang menghalang hasrat saya. Jasanya pada saya tidak terhingga dan saya akan jaganya sebaik mungkin bagi memastikan ia masih boleh digunakan beberapa tahun lagi.

Pagi yang terlewat


Pagi ini saya terlewat ke pejabat. Kelewatan saya bukan disengajakan atau dibuat-buat. Saya sedar dari tidur pada pukul 7.15 pagi sedangkan saya perlu berada dipejabat pada pukul 7.30 pagi. Saya juga berasa agak pelik dan janggal, biasanya jika seseorang yang terlewat bangun keadaan menjadi huru hara dan penuh elemen gelabah. Cuba lihat drama tempatan yang memapaparkan adegan begitu. Pasti keadaannya sama. Tetapi saya kelihatan tenang dan bersahaja menghadapi situasi berkenaan cuma terbit perasaan sesal  dalam hati. Banyak perkara saya tinggalkan.
Sambil bersiap saya sedikit hairan dengan tingkah laku saya yang agak sopan dan penuh tatatertib semulajadi ini. Bukan saya ingin memuji diri sendiri tetapi kelewatan pagi ini menjadikan saya lebih tenang tanpa mengeruhkan keadaan kerana adakalanya kelewatan yang dialami bukan salah sendiri. Tetapi idak adil pula menyalahkan orang lain atas kelewatan tersebut kerana pokok pangkalnya adalah kesilapan diri. Anggap sahaja ia ketentuan yang ada hikmahnya.